MELAKA: Lima jemaah sahaja dibenarkan menunaikan solat fardu di masjid dan surau yang diberi kebenaran dalam satu masa manakala 45 jemaah bagi solat Jumaat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.
Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, jumlah jemaah untuk solat Jumaat itu dikuatkuasakan bagi solat pada 15 dan 22 Januari ini sehingga satu pengumuman diberikan kelak.
“Pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh PKP iaitu pada 15 dan 22 Januari akan diadakan dengan kehadiran jemaah yang terhad iaitu kepada 45 orang sahaja.
“Pelaksanaan solat Jumaat di semua surau yang diberikan kebenaran sementara kerana Covid-19 juga boleh diteruskan dengan kehadiran jemaah tertakluk kepada jumlah sama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Abdul Halim, bagi solat fardhu lima waktu, hanya lima jemaah dibenarkan masuk dalam satu masa bagi menunaikan solat di surau mahupun masjid.
“Orang awam boleh singgah di surau ataupun masjid di negeri ini untuk menunaikan solat fardhu, namun hanya lima orang jemaah dibenarkan dalam satu masa.
“Saya galakkan solat fardhu ini dilakukan di rumah sahaja,” katanya.
Katanya, kehadiran jemaah ke masjid dan surau yang dibenarkan jug perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang digariskan Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, pelaksanaan ceramah umum, kelas pengajian agama dan kelas al-Quran ditangguhkan sepanjang tempoh PKP tersebut.
“Jabatan Mufti akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan.
“Perincian lengkap berhubung aktiviti program dan kelas pengajian di masjid dan surau di negeri ini hendaklah merujuk dari arahan yang dikeluarkan dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya. -UTUSAN ONLINE