MELAKA: Kerajaan negeri menyediakan empat dewan tambahan yang akan dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi menampung pesakit sekiranya berlaku peningkatan luar biasa jangkitan Covid-19 di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, empat dewan yang telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai PKRC adalah Dewan Tun Ali yang mampu menampung sehingga 300 orang, Dewan Bestari (200), Dewan Citrakasih (150) dan Dewan MITC (3,000).
Bagaimanapun, ujar beliau, empat dewan itu hanya akan beroperasi apabila PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sudah tidak mampu menampung kehadiran pesakit baharu yang didapati positif Covid-19.
“Buat masa ini, Hospital Melaka tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit baharu yang semakin meningkat di negeri ini. Ekoran itu kita mengambil keputusan untuk menghantar mereka ke MAEPS sejak minggu lepas.
“Sekiranya MAEPS tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah pesakit baharu, maka kerajaan negeri akan membuka empat dewan tersebut seperti yang dirancang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah ION Forte Green City yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tepat memandangkan peningkatan kes baharu di negeri ini melebihi pesakit yang sembuh.
Ujarnya, semalam kes baharu yang dicatatkan adalah sebanyak 37 orang berbanding yang sembuh hanya seramai 17 orang, manakala keseluruhan mereka yang masih dirawat adalah berjumlah 399 orang.
“Peningkatan mendadak pesakit Covid-19 di negeri ini berlaku di pusat-pusat tahanan dan penjara termasuk yang terbaharu di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas tetapi kini sudah merebak dalam kalangan komuniti di seluruh negeri ini termasuk di beberapa daerah yang sebelum ini diisytiharkan zon hijau,” tegasnya.
Justeru, beliau berkata, pelaksanaan PKP di negeri ini adalah tindakan wajar dalam usaha menyekat penularan Covid-19 daripada terus berlaku hingga boleh menjejaskan semua sektor.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi negeri ini, Rahmad berkata, satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Melaka akan diadakan bagi membincangkan secara terperinci perkara itu sebelum diumumkan agar rakyat dapat mematuhinya.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada seluruh penduduk di negeri ini sepanjang tempoh PKP bermula esok hingga 26 Januari ini agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha untuk menyekat rantaian penularan Covid-19. -UTUSAN ONLINE