Mekanisme bayaran kos hospital swasta rawat pesakit Covid-19 ditentukan - Utusan Malaysia

Mekanisme bayaran kos hospital swasta rawat pesakit Covid-19 ditentukan

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Integrasi keupayaan perkhidmatan hospital sektor awam dan swasta dalam tempoh darurat antara empat fokus dalam perbincangan Jawatankuasa Teknikal  pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu  2021).

Ketua Setiauasaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kesemua fokus itu dipersetujui oleh Sidang Darurat Majlis  Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat empat kali bagi memantau  isu-isu  berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat.

Menurut beliau, dalam fokus integrasi perkhidmatan kesihatan awam-swasta itu,  mekanisme pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi Kementerian  Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan  industri insurans. 

Buat masa ini, katanya, peranan sektor swasta  diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu  membiayai sendiri kos perubatan dan rawatan.

“Koordinasi sistematik agar jaminan akses kesihatan menyeluruh dan bersepadu dapat dilaksanakan bagi pesakit Covid-19 serta bukan Covid-19.

“Mengoptimumkan sumber kesihatan dan kepakaran yang ada untuk tujuan perawatan pesakit sewaktu pandemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengoperasian hospital awam digerakkan termasuk Hospital Universiti,  Hospital Angkatan Tentera dan hospital swasta akan diletakkan  secara hibrid berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah  Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu.

Selain itu, katanya,  mengoptimakan kapasiti makmal sedia ada terutamanya di  jabatan-jabatan kerajaan dan universiti awam bagi tujuan pengujian serta pengesanan Covid-19 secara berskala besar.

 Ini termasuk, kata beliau, mobilisasi lain-lain sumber perubatan seperti peralatan, PPE,  ubat-ubatan adalah mengikut keperluan hospital terutamanya  bagi perkhidmatan kesihatan umum termasuklah memobilisasi  anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta  khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas  sementara di hospital awam.

“Penjajaran sementara kakitangan awam ke tempat yang  memerlukan perkhidmatan tambahan terutama bagi  perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan turut difokuskan dalam mobilisasi sumber perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri  

“Penggunaan aset kerajaan yang kurang optimum seperti  kenderaan Jabatan boleh dikongsi untuk menyokong kelancaran  operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan  terselaras,” katanya. 

Selain itu, kata Mohd. Zuki, bangunan dan fasiliti kerajaan yang bersesuaian akan  dikenal pasti di seluruh negara bagi tujuan pusat pengambilan ujian saringan Covid-19 dan Jabatan Perkhidmatan Awam akan bertanggungjawab  menyelaras perkara itu bersama Kementerian Kesihatan  Malaysia dan kementerian atau agensi lain yang terlibat.

Menurut beliau, penggunaan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem  Bina Negara dan fasiliti lain yang bersesuaian dijadikan  sebagai fasiliti tahanan sementara serta Depoh Tahanan  Sementara bagi kegunaan Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan  Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara  sewaan.

Kesemua fasiliti itu, katanya, bertujuan menjamin penjarakan fizikal banduan dan tahanan di penjara,  depoh tahanan serta lokap seterusnya mengelakkan penularan  Covid-19.  

Jelas beliau, banduan dan tahanan yang akan ditempatkan di kem-kem itu adalah banduan dan tahanan dengan kesalahan ringan sahaja.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan  agensi-agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk ditempatkan sementara bagi menjamin keselamatan yang  ketat.

“PDRM pada masa ini sedang berunding dengan pemilik-pemilik  fasiliti yang bersesuaian untuk dijadikan lokap sementara dan pengoptimuman penggunaan fasiliti sedia ada yang bersesuaian  serta mengelakkan dari implikasi kewangan yang lebih besar  bagi pembinaan fasiliti baharu,” katanya. 

Sementara itu, Mohd. Zuki memberitahu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan  bertindak mengumpul sebarang pandangan atau  maklum balas rakyat bagi memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai situasi darurat semasa. 

Kementerian itu katanya, bertindak secara strategik dengan mewujudkan saluran khas untuk  memastikan segala maklumat berkaitan dengan pelaksanaan  pengurusan darurat disampaikan kepada rakyat secara holistik dan tepat. 

Mohd. Zuki berkata, Jawatankuasa Teknikal akan terus meneliti dan memantau perkara perkara yang berbangkit daripada Proklamasi Darurat agar dapat  memberi pengesyoran yang terbaik kepada Sidang Khas Darurat MKN  untuk dipertimbangkan. 

“Ingin saya tekankan bahawa pentadbiran Perkhidmatan Awam dalam  tempoh darurat ini tidak akan terjejas dan berfungsi seperti sedia ada bagi memastikan kelancaran penyampaian pekhidmatan kerajaan dengan  pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP). 

“Saya juga ingin menegaskan kepada seluruh rakyat sentiasa memastikan segala maklumat dan informasi yang diterima  dipastikan terlebih dahulu kesahihannya kerana penyebaran  maklumat yang tidak sahih akan menjejaskan usaha kita dalam  memerangi pandemik COVID-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN