ALOR SETAR: Mekanik cedera di beberapa bahagian badan selepas didakwa dipukul oleh enam pengawal keselamatan warga Bangladesh di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.
Menurut mangsa, Shahrul Anuar Tayib, 34, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika dia menanti untuk mengambil ibunya, Zaiton Hashim, 60, yang bekerja di medan selera di pusat membeli belah itu.
Katanya, pada mulanya dia didatangi seorang daripada pengawal keselamatan yang memintanya supaya mengalihkan motosikalnya daripada tempat dia berhenti.
“Pengawal itu tegur saya dengan mengatakan tidak boleh meletakkan motosikal di situ. Tetapi saya katakan padanya yang saya bukan hendak meletakkan motosikal, sebaliknya cuma menanti ibu untuk pulang bekerja.
“Kemudian ketua pengawal itu datang dan menegur saya sekali lagi. Saya tunjukkan isyarat kepadanya sebagai tanda akan berada di situ cuma lima minit, tetapi, dia kemudiannya bertanya sama ada saya tidak faham dan mengeluarkan perkataan bodoh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sentosa di sini, hari ini.
Klip video yang memaparkan Shahrul dipukul pengawal tersebut menjadi tular dalam media sosial sejak semalam.
Tersinggung dengan perkataan dikeluarkan, Shahrul berkata, dia menolak ketua pengawal keselamatan itu sebelum lelaki warganegara Bangladesh itu bertindak memanggil rakan-rakannya menerusi walkie-talkie.
“Tidak lama selepas itu, datang lagi beberapa pengawal keselamatan yang kemudian memukul saya. Beberapa individu cuba menenangkan, namun saya terus dipukul di situ,” katanya.
Selepas itu, Shahrul menambah, dia kemudiannya dibawa pengawal keselamatan itu ke dalam sebuah bilik di kompleks membeli belah itu sebelum seorang lelaki mendakwa sebagai anggota polis berpakaian biasa mengarahkan mereka melepaskannya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua enam pengawal tersebut yang berusia 26 hingga 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE