MEDAC sumbang RM700 ribu untuk rakyat di Sarawak  - Utusan Malaysia

MEDAC sumbang RM700 ribu untuk rakyat di Sarawak 

WAN Junaidi Tuanku Jaafar menerima replika cek sumbangan gerakan koperasi Sarawak untuk Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mangsa banjir, pelajar dan golongan memerlukan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Kuching, Sarawak menerima sumbangan berjumlah hampir RM700,000. 

Bantuan itu hasil kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan koperasi (MEDAC) dan agensi di bawahnya, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi serta dibahagikan mengikut kategori. 

Menterinya, Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku berkata, bantuan tersebut disalurkan menerusi Program Bantuan Bencana Kecemasan Koperasi Khas kepada dua koperasi iaitu Sri Muara Kuching Berhad dan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro Berhad. 

Katanya, sumbangan barangan makan turut diedarkan kepada 300 mangsa banjir yang disalurkan menerusi Program Peningkatan Koperasi melibatkan lima koperasi penerima di negeri itu. 

“Saya menghargai inisiatif yang digerakkan oleh pihak Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi untuk membantu golongan yang memerlukan. Usaha murni dijalankan syarikat korporat dan organisasi ini amat bermakna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Junaidi berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah program Kembali Ke Sekolah dengan peruntukan bernilai RM1 juta, Bank Rakyat mendermakan barangan persekolahan bernilai RM112,000 kepada 700 pelajar kurang mampu di sekitar negeri itu. 

Malah, katanya, program itu turut mendapat kerjasama anak syarikat, Zakat Rakyat Holdings yang menyerahkan RM21,500 dan RM154,350 hasil pungutan zakat dan disalurkan kepada lebih 1,000 keluarga asnaf di kawasan Parlimen Santubong, Sarawak. 

“Saya berharap semua pihak memandang serius dalam soal golongan kumpulan berpendapatan rendah (B40) termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19 selain kebanyakan mereka memperoleh pendapatan secara harian. 

“Mereka tidak mempunyai simpanan mencukupi serta kedudukan kewangan yang kukuh dalam mendepani tempoh yang sukar ini. Saya harap semua pihak memainkan peranan dalam mencegah penyebaran wabak Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya