BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 15,588 kompaun atas kesalahan meletak kenderaan dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) antara 1 Januari lalu hingga semalam.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti mengapa jumlah kompaun itu agak tinggi dalam tempoh yang singkat iaitu kurang sebulan.
“Kita tidak tahu mengapa ini terjadi. Adakah sistem (tempat letak kenderaan) itu yang bermasalah atau penduduk Seberang Perai sendiri yang masih belum memahami sistem itu sepenuhnya?
“Apapun, kita akan perbaiki segala kelemahan yang ada dan berusaha untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan ke tahap yang lebih baik selepas ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP kali yang pertama untuk tahun 2021 di sini hari ini.
Menurut Rozali, MBSP juga telah mula mengguna pakai hampir sepenuhnya aplikasi Penang Smart Parking bermula tahun ini.
“Bagaimanapun, kelonggaran masih diberikan kepada beberapa individu tertentu yang belum memahami penggunaan sistem tersebut dengan adanya 186 ejen kupon elektronik atau e-kupon yang dipertanggungjawabkan untuk tujuan itu di beberapa lokasi yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Rozali turut melancarkan Bank Makanan Wira MBSP untuk kakitangannya bertujuan meringankan beban mereka sepanjang musim pandemik Covid-19.
Menerusi bantuan itu, seramai 10 penerima akan dipilih setiap bulan bagi menerima barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, biskut, sardin dan sebagainya.
Dalam perkembangan lain, Rozali berkata, MBSP juga bersetuju melanjutkan kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA) apabila bakal menandatangani memorandum persefahaman terbaharu sebaik sahaja tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir.
Katanya, perjanjian terbaharu yang dijangka bermula tahun ini hingga 31 Disember 2022 merupakan kesinambungan daripada kerjasama terdahulu iaitu selama lebih tiga tahun yang berakhir hujung tahun lepas.
“Kerjasama itu membolehkan MBSP menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang memperkenalkan konsep inklusif apabila menyediakan khidmat jurubahasa isyarat dalam mesyuarat majlis penuh, majlis penerimaan jawatan ahli Majlis serta beberapa program lain anjuran MBSP sebelum ini.
“Pendekatan inklusif ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada semua penduduk Seberang Perai khususnya golongan OKU (orang kurang upaya) untuk sama-sama memahami apa yang ingin disampaikan oleh kami,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE