GEORGETOWN: Mayat seorang wanita ditemukan di ruang tamu rumahnya di flat Padang Tembak, Ayer Itam, di sini lewat malam tadi.
Wanita berusia 50 tahun itu dijumpai terbaring di rumah tamu kediamannya dalam keadaan lengkap berpakaian.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat Paya Terubong, Abd. Roni Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan menyelamat mangsa dan pintu rumah terkunci daripada pasukan polis kira-kira pukul 12.58 malam dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, anggota penyelamat terpaksa memecahkan pintu pagar besi rumah terbabit dengan menggunakan peralatan khas dalam masa kurang lima minit.
“Kita, pada mulanya menerima maklumat daripada pemanggil memaklumkan pintu terkunci dan dikhuatiri terdapat mangsa yang pengsan di dalam rumah tersebut.
“Sebaik sahaja pintu berjaya dibuka, kita menemukan seorang perempuan berusia 50 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah diserahkan kepada pihak hospital untuk pengesahan kematiannya.
“Mayat wanita terbabit kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Operasi menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 1.29 pagi tadi. – UTUSAN ONLINE