Maritim Malaysia lakukan dua penerbangan ihsan bantu dua mangsa kemalangan di Pulau Tioman - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia lakukan dua penerbangan ihsan bantu dua mangsa kemalangan di Pulau Tioman

PENERBANGAN ihsan Maritim Malaysia menghantar dua mangsa kemalangan dari Pulau Tioman, Rompin ke HTAA di Kuantan, Pahang. - IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan penerbangan ihsan menghantar dua mangsa kemalangan berlanggar motosikal dari Pulau Tioman, Rompin ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pagi tadi.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman, Dr. Ijlal Syami Mohd. Basri memaklumkan dua orang pesakit memerlukan penerbangan ihsan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa, Ta’asiah A. Hamid, 60, mengalami patah di bahagian tulang rusuk yang menyebabkan susah untuk bernafas dan mungkin mengalami keretakan di bahagian tengkorak.

“Mangsa kedua, Rahim Shadan, 55, mengalami kecederaan patah di bahagian tulang selangka kanan. Kedua-dua mangsa mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Tekek sebelum dibawa ke HTAA menggunakan pesawat udara Maritim Malaysia untuk rawatan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Amran berkata, helikopter jenis Agusta AW139 milik Maritim Malaysia terbang dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Kelantan tiba di Pulau Tioman pada pukul 8.24 pagi untuk mengambil dua pesakit tersebut.

“Penerbangan ihsan ini diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi, dibantu pembantu juruterbang Leftenan Maritim Syahril Annuar Osman serta dua kru udara. Ini penerbangan ihsan pertama pada tahun ini melibatkan dua orang mangsa kemalangan di Pulau Tioman yang memerlukan rawatan hospital dengan segera,” katanya.

Menurutnya, bantuan penerbangan itu bergantung kepada keadaan aset Maritim Malaysia dan keutamaan diberikan kepada bidang penguatkuasaan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk keperluan bantuan semasa banjir di negeri-negeri yang terjejas khususnya di Pantai Timur.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan tetap berusaha sedaya upaya untuk membantu dalam situasi sedemikian.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya