BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas kira-kira 32 tan palet kayu pine di dalam dua kontena semasa pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam.
Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, produk dari China itu ditemukan semasa anggota Maqis membuat pemeriksaan kira-kira pukul 5 petang.
Menurut beliau, produk kayu itu dikesan cuba diseludup masuk ke negara ini tanpa mempunyai permit import yang sah.
“Sehubungan itu dua kontena yang membawa muatan spesies kayu pine seberat 36,000 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM63,378.79 disita untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati kayu tersebut yang dimuatkan di dalam 3,600 paket 10 kg setiap satu diimport untuk kegunaan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. – UTUSAN ONLINE