KEMAMAN: Setiap kali bah, bapa kepada seorang anak di Kampung Seberang Tayor di sini terpaksa mendapatkan khidmat pasukan keselamatan untuk mengusungnya ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Begitulah rutin Baharun Mohamed, 43, sejak 12 tahun lalu yang tidak dapat berjalan akibat patah tulang belakang selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2009.
Katanya, lokasi kediaman yang terletak di kawasan rendah menyebabkan mereka sekeluarga perlu berpindah ke PPS setiap kali musim tengkujuh.
“Saban tahun saya terpaksa dibantu oleh pihak bomba atau Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk diusung bersama katil khas dengan menggunakan lori kerana tidak boleh berjalan.
“Minggu ini sudah dua kali kami berpindah dan tidak sampai 24 jam pulang ke rumah pada petang Selasa lalu saya diusung semula ke PPS Dewan Sivik Felda Seberang Tayor,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Baharun yang lumpuh separuh badan, walaupun letih berdepan ujian itu tetapi dia reda, bahkan turut diberi ruang khas untuk lebih keselesaan.
Dia yang turut dibantu isterinya, Zaleha Ali, 48, berkata, tidak mempunyai masalah untuk tinggal di PPS memandang memakai tiub kencing tanpa perlu ke tandas. – UTUSAN ONLINE