KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Temerloh mencatat pertambahan drastik kepada lebih 10,920 orang pada pukul 5 petang berbanding 6,000 semalam.
Jumlah tersebut melibatkan lebih 2,930 keluarga yang terjejas dari sekitar daerah itu dan kini ditempatkan di 80 buah pusat pemindahan sementara (PPS).
Peningkatan jumlah mangsa tersebut dipengaruhi trend paras air Sungai Pahang di daerah itu yang kini mencatat bacaan 34.6 meter berbanding 34.39 meter semalam dan melepasi paras bahaya 33 meter.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, pertambahan di Temerloh sekali gus melonjakkan jumlah mangsa di 288 PPS seluruh negeri itu kini mencatat keseluruhan lebih 25,600 orang.
Daerah yang berjiran dengan Temerloh, Bera turut mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir dengan 1,304 orang melibatkan 347 keluarga berbanding 864 orang, semalam.
Dalam pada itu, Maran turut konsisten menunjukkan pertambahan bilangan kepada lebih 2,920 mangsa, diikuti Lipis 2,389 orang, Jerantut (1,900) serta Kuantan (1,970 orang).
Sementara itu, daerah Pekan dan Raub masing-masing mencatat sekitar 1,840 mangsa, manakala Rompin kekal terendah seramai 637 orang setakat lewat petang tadi. -UTUSAN ONLINE