Malaysia terima vaksin ikut jadual - Utusan Malaysia

Malaysia terima vaksin ikut jadual

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan Malaysia antara negara terawal yang menerima vaksin Covid-19 Februari ini seperti yang dipersetujui dalam perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Pfizer. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, tempoh masa terbabit dipersetujui dalam perbincangan membabitkan kontrak dengan Pfizer pada November tahun lalu sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terawal di Asia Pasifik yang mendapat bekalan vaksin terbabit. 

Katanya, melihat kepada Singapura, negara itu diyakini membuat perjanjian terlebih dahulu susulan negara itu mempunyai sumber yang besar dengan bajet melebihi SGD 1 bilion untuk populasi rakyat negara itu (kira-kira bajet yang sama dengan Malaysia untuk penduduk yang kira-kira lima kali lebih besar). 

“Manakala Indonesia pula menjadi negara yang melaksanakan ujian klinikal fasa tiga bagi vaksin Sinovac di mana Indonesia antara negara pertama membenarkan penggunaan produk itu luar dari China.

“Ini kerana Indonesia boleh meluluskan penggunaan vaksin Sinovac kerana mempunyai data klinikal dari ujian mereka sendiri. Malah difahamkan Sinovac mengutamakan negara yang menjalankan ujian klinikal vaksin mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Khairy berkata, Malaysia sendiri pernah menawarkan diri untuk membolehkan Sinovac menjalankan ujian klinikal tetapi atas faktor jumlah pesakit yang kecil berbanding Indonesia, maka negara jiran menjadi pilihan utama. 

Katanya, biarpun Malaysia bukan negara pertama menerima vaksin tetapi tidaklah terlalu lambat ataupun ketinggalan berbanding negara membangun yang sudah menerima vaksin kerana membayar harga yang tinggi. 

“Pembelian itu juga dibuat sebelum adanya jaminan keselamatan dan data lengkap. Jika dibandingkan dengan Jepun, vaksin ditempah Julai tahun lalu dan akan menerimanya Februari nanti seperti Malaysia manakala Korea Selatan pula, tempah pada Disember tahun lalu dan akan memperolehnya suku ketiga tahun ini. 

“Vaksin yang Malaysia akan dapat nanti, bukanlah kesemuanya tetapi diperoleh secara berperingkat sama seperti negara lain kerana tiada negara yang memperoleh vaksin kesemua sekaligus,” katanya. 

Tambahnya, bagi vaksin Pfizer yang Malaysia tempah, satu juta dos pada suku pertama tahun ini, diikuti 1.7 juta dos suku kedua, 5.8 juta dos suku ketiga dan 4.3 juta dos suku ke empat. 

“Keutamaan vaksinisasi Covid-19 di Malaysia adalah petugas barisan hadapan seperti kakitangan kesihatan dan anggota keselamatan, selain golongan berisiko seperti warga emas,” katanya. 

 Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan tahun baharunya, memberi jaminan kerajaan akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat negara ini.

Tegas Perdana Menteri, vaksin itu juga akan diberi secara percuma kepada rakyat melalui tiga fasa imunisasi dikendalikan Kementerian Kesihatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya