Malaysia kesan 1 kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 - Utusan Malaysia

Malaysia kesan 1 kes Covid-19 varian UK B.1.1.7

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 atau 202012/01 mutasi protein Spike telah dikesan di Malaysia pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut dilaporkan dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom (UK) pada Disember tahun lalu.

Menurut beliau, pengembara tersebut didapati positif pada 28 Disember dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut.

Beliau menjelaskan, sejak Oktober tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk dari UK, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.

“Sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober tahun lalu dan telah melakukan “genome sequencing” bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel.

“Setakat hari ini, tiada penularan dalam negara dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 tersebut.

“Kementerian melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam Facebook beliau, hari ini.

Noor Hisham berkata, walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak menyebabkan gejala yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat.

Justeru, orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN