Malaysia dalam masalah jika kes Covid-19 cecah 5,000 sehari - Utusan Malaysia

Malaysia dalam masalah jika kes Covid-19 cecah 5,000 sehari

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Malaysia bakal berdepan masalah kekurangan katil untuk pesakit Covid-19 jika kes harian pandemik tersebut di seluruh negara terus meningkat mencecah antara 5,000 hingga 8,000 sehari.

Menteri Pertahanan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kes Covid-19 kini telah mencecah 3,000 sehari, namun, bilangan katil sedia ada masih mampu menampung jumlah pesakit.

“Kalau sudah sampai 5,000 atau 8,000 kes sehari, memang agak sukar untuk menampung keperluan tersebut. Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan ia tidak sampai ke tahap tersebut.

“Jika rakyat mematuhi setiap SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan, Insya-Allah kita mampu melandaikan graf jangkitan.. yang penting sekarang ialah kerjasama seluruh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir Kelantan oleh Kementerian Pertahanan di Kem Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hasan.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, orang ramai diminta bertenang dan tidak perlu membuat pembelian panik sebelum mendengar pengumuman yang bakal dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.

“Jangan terpengaruh dengan khabar angin dibawa media sosial seperti malam tadi kononnya ada pihak polis mengadakan sekatan jalan raya tak membenarkan orang keluar rumah. Malam tadi tidak ada pun seperti diheboh-hebohkan itu.

“Jadi jangan kita panik lebih awal daripada pengumuman Perdana Menteri dengan menyerbu pasar raya,” katanya.

Tegas beliau, sebelum melaksanakan sesuatu seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan akan mengambil kira semua keperluan rakyat termasuk aktiviti ekonomi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya