PETALING JAYA: Majikan digesa mematuhi syarat yang terkandung dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) iaitu menyediakan penginapan kepada pekerja asing dengan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Pematuhan itu pelu lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Zaini Yaacob berkata, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang bersikap sambil lewa dan tidak mematuhi spesifikasi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.
“Majikan terbabit akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 kerana tidak mematuhi spesifikasi Akta tersebut.
“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM50,000 manakala bagi kesalahan penyedia penginapan berpusat boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Operasi bersepadu pemeriksaan penginapan pekerja asing yang dijalankan semalam menyaksikan seramai 330 orang pekerja asing yang ditempatkan di dua lokasi berbeza tidak mengikut piawaian penginapan yang ditetapkan.
“Majikan telah didapati telah membuat satu kesalahan iaitu tidak mempunyai peraturan penginapan pekerja seperti mana yang telah ditetapkan oleh JTKSM,” katanya.
Tambah Zaini, pihaknya turut mendapati berlakunya kesesakan ruang dalam setiap unit penginapan yang majikan sediakan.
“Ada yang menempatkan seramai 11 orang dalam satu ruang sempit tanpa sistem pengudaraan yang baik.
“Pihak JTKSM akan mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut Akta yang telah ditetapkan serta dalam masa yang sama pihak kami akan berhubung lanjut dengan pihak berwajib,” katanya -UTUSAN ONLINE