PONTIAN: Sektor industri khususnya perkilangan diingatkan jangan terlalu tamak dan mengejar keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan aspek kebersihan tempat penginapan asrama pekerja mereka yang menjadi punca merebaknya Covid-19.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Syahrulzaman Ibrahim berkata, sikap tersebut terserlah apabila serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa yang menunjukkan majikan mengabaikan soal kebersihan.
Katanya, kes-kes penyebaran Covid-19 yang melibatkan tempat berkerja perlu diberikan perhatian khusus kerana mereka menjadi penyebab utama berlakunya pertambahan kes-kes ketika ini.
Menurut beliau, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, majikan seolah-olah tidak mengambil tahu dengan mengarahkan pekerja melakukan kerja lebih masa pada hari Sabtu dan Ahad.
“Sepatutnya pada masa PKP, kerja lebih masa ditangguhkan dahulu bagi memberikan pekerja masa untuk membersihkan tempat tinggal mereka dan ‘mengosongkan’ industri tanpa sebarang kegiatan.
“Tetapi mereka terus melakukan kerja-kerja lebih masa, seolah-olah PKP untuk penduduk tempatan, mereka (pekerja asing) tidak mengambil tahu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Syahulzaman, majikan seharusnya bersyukur dan berterima kasih kerana sektor ekonomi mereka tidak ditutup berbanding peniaga kecil pasar malam, peniaga pasar tani, pekedai gunting rambut dan sebagainya.
“Kita pun merasa kasihan dengan peniaga-peniaga pasar malam yang tidak dapat menjalankan perniagaan hampir tiga minggu dan tentunya menjejaskan sumber pendapatan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian Sumber Manusia kerap membuat pemeriksaan ke atas tempat penginapan sama ada asrama atau rumah kedai yang dijadikan tempat tinggal pekerja.
Tegasnya, pemeriksaan berterusan perlu dilakukan memandangkan ramai majikan tidak mengambil tahu soal kediaman pekerja mereka yang boleh disifatkan sebagai ‘sardin’ kerana melebihi keperluan.
“Kita juga berharap, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menarik balik kebenaran beroperasi semasa PKP kepada majikan yang menyebabkan berlakunya kes-kes jangkitan Covid-19,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE