MAIPs Peduli sumbang RM21.8j kepada asnaf - Utusan Malaysia

MAIPs Peduli sumbang RM21.8j kepada asnaf

TUANKU Syed Faizuddin bertemu dengan asnaf pada program MAIPs Peduli siri pertama bagi 2021 di kawasan Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui program MAIPs Peduli telah membantu kira-kira 34,780 asnaf dengan jumlah agihan sebanyak RM21.8 juta sejak dimulakan pada 2013.

Program yang diilhamkan dan melibatkan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang Dipertua MAIPs pada setiap siri kayuhan itu telah diadakan sebanyak 644 kali sejak diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, program kayuhan berbasikal bersiri bagi menjejaki dan menyantuni asnaf tersebut dilaksanakan sebanyak 80 kali sepanjang tahun lalu.

“Istimewa lagi, penglibatan Tuanku Syed Faizuddin dalam setiap siri program tersebut sentiasa dinanti-nantikan rakyat jelata dan mendekatkan lagi institusi raja dengan rakyat yang amat baginda kasihi.

“Sokongan daripada Institusi diraja Perlis, kerajaan serta pelbagai agensi negeri dan Persekutuan, badan korporat, media, individu khususnya para penyumbang zakat, wakaf dan sumber am melalui MAIPs telah menjayakan inisiatif bersama ke arah kesejahteraan rakyat.

“Kami bersyukur dan berdoa agar mereka ini terus menyumbang dan memberikan mandat kepercayaan kepada MAIPs,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi baginda dalam program MAIPs Peduli siri sulung 2021 melibatkan kayuhan sejauh 10 kilometer yang bermula dan berakhir di perkarangan ‘Rumah Warisan di Tapak Stesen Keretapi Lama Arau.

Turut berkenan berangkat ke program tersebut adalah Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Puteri Sharifah Farah Adriana serta Pengarah Urusan Ummul Travel And Tour Sdn Bhd, Rizwan Ahamad Badrudin.

Program tersebut diadakan dengan kerjasama Ummul Travel And Tour turut melancarkan sebuah lagi lokasi pelancongan baharu menarik di bandar Arau.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya