Mahfuz minta Muhyiddin lepas jawatan - Utusan Malaysia

Mahfuz minta Muhyiddin lepas jawatan

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta melepaskan jawatan secara sukarela bagi mengelakkan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terpaksa diadakan dalam masa terdekat seperti dituntut UMNO menerusi mesyuarat majlis tertingginya kelmarin.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya ketika jumlah kes Covid-19 kian meningkat.

“UMNO menuntut supaya pilihan raya umum diadakan sebelum suku pertama 2021, sedangkan ini bukanlah masa yang sesuai ketika pandemik Covid-19 mencanak naik. 

“Namun dalam masa sama, parti yang mendukung kerajaan itu sendiri tampak tiada keyakinan terhadap Perdana Menteri dalam menerajui pentadbiran negara kerana mahu pilihan raya diadakan segera.

“Jadi untuk mengelakkan daripada berlakunya pilihan raya, Perdana Menteri perlu meletak jawatan. Dengan cara itu, kita serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menentukan siapa sebenarnya individu yang mendapat sokongan terbanyak dalam kalangan Ahli Parlimen bagi menerajui kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Bola Sepak Faizal Abu Bakar (FAB) di Taman Bandar Baru di sini, hari ini.

Menerusi mesyuarat majlis tertingginya kelmarin, UMNO mendesak supaya PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat.

Selain itu, terdapat juga keputusan supaya parti itu memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa menghadapai PRU-15.

Mahfuz berkata, pertembungan antara dua parti itu membawa keresahan dalam kalangan rakyat selain mendatangkan keraguan terhadap pelabur di negara ini.

“Untuk itu, Muhyiddin perlu berkorban dan kalau beliau benar-benar meletakkan kepentingan negara di depan, maka beliau perlu berundur.

“Keadaannya sekarang beliau bukan hanya tidak disokong pembangkang sebaliknya ditolak oleh juga oleh parti yang sama-sama membentuk kerajaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya