SHAH ALAM: Hanya 13 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) meliputi sembilan daerah di negeri ini dibuka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Unit Korporat LZS, cawangan tersebut adalah cawangan ALAMi Seksyen 13 Shah Alam, Kompleks UTC Shah Alam, Subang Jaya, Kompleks MAIS Klang, Banting,Bandar Baru Salak Tinggi,Bandar Baru Bangi dan Bandar Baru Ampang.
“Selain itu, cawangan yang dibuka ialah di Seksyen 14 Petaling Jaya, Selayang, Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor dan Sungai Besar turut terlibat.
“Waktu operasi di 12 cawangan bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang sepanjang tempoh tersebut. Namun, untuk operasi di Kompleks UTC Shah Alam bermula 8 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula semalam hingga 26 Januari ini.
Kata kenyataan itu lagi, penangguhan operasi LZS itu tidak akan menjejaskan agihan bantuan bulanan dan asnaf sedia ada akan tetap menerima bantuan seperti biasa.
“Orang ramai yang ingin membuat semakan bantuan dan cetakan penyata bayaran zakat boleh melayari ezo.zakatselangor.com.my.
“Pembayaran zakat boleh dibuat menerusi transaksi dalam talian dengan melayari fpx.zakatselangor.com.my atau pun menerusi perbankan internet,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut, LZS hubungi melalui talian Zakat Selangor 1300884343 atau melalui webchat di portal www.zakatselangor.com.my atau e-mel ke [email protected]. -UTUSAN ONLINE