IPOH: Jabatan Perhutanan Perak menahan dua buah lori yang membawa kira-kira 500 tual kayu getah tanpa pas pemindah dianggarkan bernilai RM8,000 dalam rondaan di sekitar Lenggong pada Khamis lalu.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, lori pertama yang ditahan disyaki membawa muatan kayu getah dipercayai untuk dihantar ke kilang kayu sekitar Hulu Perak.
“Semasa sesi pemeriksaan dibuat, didapati pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan dari Jabatan Perhutanan Perak kepada pegawai penguatkuasa bertugas.
“Sehubungan itu, pemandu lori telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Lenggong untuk siasatan lanjut.
“Sebaik sahaja tangkapan pertama selesai, pegawai penguat kuasa terserempak pula dengan sebuah lagi lori yang disyaki membawa muatan kayu getah di kawasan Gerik – Kuala Kangsar berhampiran pekan Lenggong juga tanpa sebarang dokumen kebenaran dan turut ditahan di Balai Polis Lenggong untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua lori disita serta dipindahkan ke Stor Rampasan Bandariang, Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak untuk siasatan lanjut.
Katanya, pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu manakala kedua-dua pemandu lori kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu berkenaan boleh didakwa atas kesalahan ke atas kedua-dua memindah kayu getah tanpa pas pemindah di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan tidak mematuhi arahan Pekeliling Pengarah Perhutanan Negeri Perak Bil.2/2019.
“Kes ini akan disiasat oleh pegawai penyiasat Jabatan Perhutanan Perak seterusnya akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Jabatan Perhutanan Perak ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa Akta Perhutanan Negara 1984 akan tetap dikuatkuasakan melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini,” katanya.
Mohamed Zin berkata, bermula 14 April 2019, semua aktiviti pengeluaran kayu getah dari mana-mana tanah milik perlu dilesenkan dan cukai hanya akan dikenakan bagi mana-mana tanah milik yang berkeluasan 40 hektar dan ke atas sahaja.
Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak atau individu yang gagal mematuhi perkara itu. -UTUSAN ONLINE