Lokman Adam berdepan hukuman hina mahkamah

Lokman Adam berdepan hukuman hina mahkamah

LOKMAN NOOR ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kini berdepan dengan hukuman penjara atau denda atau sekadar amaran selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuannya untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh oleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.

Dengan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan itu, prosiding menghina mahkamah terhadapnya akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Hadir pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu ialah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi pihak pendakwaan manakala Lokman diwakili peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim menyatakan, dapatan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah tepat dan tidak perlu diganggu.

Beliau yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim menyampaikan keputusan tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat melalui aplikasi Zoom.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Hakim Tengku Maimun memberitahu, notis prosiding komital yang dikeluarkan adalah jelas dalam memberitahu perayu (Lokman) bahawa dia perlu menjawab dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

“Kami mendapati perayu tidak diprejudiskan. Kami dapati tiada sebab untuk kami mengganggu dapatan mahkamah terdahulu,” katanya.

Berhubung isu penyerahan notis, mahkamah mendapati serahan tersebut telah dijalankan dengan sempurna dan mengikut aturan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi di sini memberikan kebenaran kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu, untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman yang dinamakan sebagai responden kerana menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Pada 14 Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran tersebut selepas berpendapat kenyataan oleh Peguam Negara ketika itu adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden.

Pada 13 Mei 2020, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Lokman Noor untuk mengetepikan kebenaran itu dan berpandangan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam membuat keputusan permohonan kebenaran Peguam Negara itu tanpa mewajarkan campur tangan mahkamahnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi berkata, tiada peruntukan hukuman spesifik ditetapkan bagi mereka yang didapati bersalah atas dakwaan menghina mahkamah.

“Sekiranya seseorang itu didapati bersa;ah dalam prosiding komital, hukuman yang akan dikenakan adalah mengikut budi bicara mahkamah yang mendengar permohonan itu. Seseorang itu boleh diberi amaran, dipenjara waima didenda RM100 pun boleh,”katanya.

Tambahnya, Permohonan komital itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada 27 Januari ini.

Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dengan memohon supaya lelaki terbabit dipenjara atau didenda atas perbuatannya menghina mahkamah.

Menurut permohonan yang difailkan, Lokman dalam satu temu bual video bertarikh 25 September 2019 telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak. 

Pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi juga merupakan saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa berhubung penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah hampir RM2.3 bilion berhubung keterangan yang diberikannya.

Tujuan tindakan responden, kata Peguam Negara, adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan kes 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya