TANAH MERAH: Kebakaran di blok tambahan Hospital Tanah Merah, di sini malam tadi memusnahkan 35 peratus daripada bangunan yang masih dalam pembinaan itu dan dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd. Rafain Mat Zain berkata, kebakaran bermula di bahagian belakang tingkat satu blok terbabit yang dilaporkan dalam proses pemasangan kabel elektrik.
“Tahap kemusnahan keseluruhan kita anggarkan dalam 35 peratus dengan setiap tingkat yang terbakar iaitu tingkat satu, dua dan tiga musnah kira-kira 50 peratus.
“Punca dan nilai kerugian sebenar bagaimanapun masih dalam siasatan” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kejadian semalam, Mohd. Rafain berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dari BBP Tanah Merah bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.57 malam.
“Apabila tiba di lokasi, kami mendapati kebakaran sudah merebak hingga tingkat tiga di bangunan setinggi tujuh tingkat yang masih dalam pembinaan itu,” katanya.
Tambah beliau, kebakaran dapat dikawal pada pada pukul 9.38 malam dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana semua pekerja pembinaan tidak berada di lokasi kejadian.
“Operasi malam tadi turut dibantu dua lagi jentera, masing-masing dari BBP Machang dan BBP Pasir Mas bersama anggota masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE