JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah pemberian sumbangan 1,200 periuk nasi yang akan disampaikan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dibuat secara adil kepada penerima.
Sultan Ibrahim bertitah, sumbangan tersebut akan diagihkan ke seluruh daerah di negeri ini dengan mengenal pasti secara tepat golongan penerima.
Dalam masa yang sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Lionmas Furnishers (M) Sdn. Bhd. atas sumbangan tersebut kepada YSIJ.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Lionmas Furnishers di atas sumbangan periuk nasi kepada YSIJ.
“Satu surat penghargaan daripada saya akan disampaikan kepada mereka,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.
Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Lionmas Furnishers, Gan Cheng Swee kepada wakil Sultan Johor yang juga Ahli Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh Harjit Singh.
Sementara itu, Cheng Swee yang juga anak kelahiran Johor berkata, beliau amat tersentuh dengan usaha berterusan Sultan Ibrahim dalam membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Saya berharap dengan bantuan ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Johor yang memerlukan, katanya.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili. -UTUSAN ONLINE