Lindungi kesucian Islam daripada persaingan untuk dapatkan laba politik - Utusan Malaysia

Lindungi kesucian Islam daripada persaingan untuk dapatkan laba politik

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Umat Islam diingatkan adalah menjadi kewajipan mereka untuk melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk penodaan atau pencemaran berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan laba politik.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ajaran al-Quran dan sunah pula wajib dilindungi kesuciannya daripada sebarang manipulasi.

Titah baginda, hukum hakam dan tafsiran mengenai Islam tidak boleh dibenarkan untuk ditafsirkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana kumpulan hingga tergelincir daripada landasan sebenar.

“Peruntukan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam, memberi jaminan bahawa tanggungjawab mengenai agama Islam dilindungi dan tidak akan terjejas walau apa juga perubahan yang berlaku dalam kepimpinan politik negara dan negeri selepas setiap kali berlangsungnya pilihan raya.

“Agama Islam yang diamanahkan tanggungjawab kepada Raja Pemerintah, akan lebih terjamin dilindungi kesuciannya,” titah baginda.

Baginda bertitah dalam Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Utama Syariah negeri, Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri dan Ketua Pendakwa Syarie negeri di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, Islam yang diperuntukkan kedudukan istimewa di negara ini perlu diangkat kemuliaannya dan ia tidak boleh bergantung semata-mata kepada apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Titah baginda, tanpa pengisian, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan hanya tinggal sebagai frasa perundangan, ibarat skrip kosong yang tidak memberikan sebarang makna.

Baginda bertitah, tanggungjawab memberi makna kepada frasa perundangan tersebut terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian.

Titah baginda, Islam bukan sekadar percakapan dan retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk yang dipaparkan di setiap bangunan.

“Islam bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji, secara memberi harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi, Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata.

“Masyarakat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam dengan tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik.

“Atau kepada kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, mereka yang menghayati nilai-nilai Islam tidak akan merasakan dirinya lebih tinggi, lebih mulia atau lebih berkuasa berbanding insan lain.

Baginda bertitah, seseorang yang memiliki sifat-sifat takwa akan bersifat jujur jika diamanahkan dengan tanggungjawab dan apabila diangkat untuk memimpin individu tersebut akan menjunjung amanah secara luhur serta tidak akan menodai kepercayaan yang telah diberikan.

“Rakyat sedang memerhati, mendengar dan mengikuti apa yang berlaku di dalam negara ketika ini. Lebih daripada itu, Allah Maha Melihat lagi Maha Mendengar, segala kejadian yang berlaku, hendaklah ditafsirkan dengan berlandaskan iman yang meyakini kuasa dan keadilan Ilahi.

“Apa juga ujian yang sedang dilalui oleh ummah, sesungguhnya ia berpunca daripada perbuatan zalim yang dilakukan oleh manusia,” titah Sultan Nazrin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya