HULU TERENGGANU: Limpahan air Tasik Kenyir di kawasan Pengkalan Gawi di sini sejak Ahad lalu bukan fenomena yang luar biasa, sebaliknya merupakan kelaziman pada musim tengkujuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd. meminta orang ramai agar tidak membuat pelbagai spekulasi yang boleh menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat.
Katanya, situasi sama pernah berlaku pada 2017 ekoran peningkatan paras air di tasik buatan manusia itu.
“Bagaimanapun keadaan masih terkawal dan pihak berkaitan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa.
“Jadi orang ramai tidak perlu panik atau risau dengan situasi ini dan usah membuat andaian di media sosial kononnya banjir besar akan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir hari ini.
Menurut Hanaffi, tinjauan turut mendapati aktiviti pelancongan di destinasi tumpuan pengunjung itu tetap berjalan seperti biasa termasuk perkhidmatan rumah bot.- UTUSAN ONLINE