Lima sekeluarga cemas berdepan perompak - Utusan Malaysia

Lima sekeluarga cemas berdepan perompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Taman Gaya, Ulu Tiram, dekat sini dipecah masuk perompak yang bertindak mengikat mereka sebelum melarikan wang tunai termasuk barang berharga bernilai kira-kira RM20,000 dalam kejadian awal pagi, semalam.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 48 tahun bersama isterinya sedang tidur di tingkat dua rumah itu sebelum dikejutkan bunyi yang kuat datangnya dari tingkat bawah sekitar pukul 2 pagi. 

Kata lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chua, dia menyangkakan bunyi tersebut adalah ibunya yang berusia 76 tahun terjatuh katil di dalam bilik tingkat bawah lalu pergi melihat keadaannya.

“Ketika sedang turun tangga, saya ternampak bayang-bayang beberapa orang lelaki dan tanpa disedari saya diserang oleh dua perompak tersebut, saya cuba melawan tetapi salah seorang daripada mereka telah mengetuk kepala saya menggunakan belakang parang. 

“Apabila saya mengalihkan pandangan ke arah bilik tidur ibu, kelihatan dia sudah diikat. Mereka kemudian mengarahkan untuk mengejutkan dua orang anak saya berusia 15 dan 16 tahun yang sedang tidur di tingkat atas sebelum mengikat tangan kami semua,” katanya di sini hari ini. 

Chua memberitahu, terdapat empat hingga lima suspek memecah masuk rumahnya namun gagal mengecam muka mereka yang ditutupi dengan baju T dan hanya mata mereka sahaja yang kelihatan. 

Katanya, dua perompak itu membawanya ke tingkat atas supaya menunjukkan lokasi wang tunai, barang berharga dan barang kemas disimpan. 

“Apabila saya memberitahu tidak mempunyai peti keselamatan untuk menempatkan wang tunai dan barang berharga, salah seorang daripada mereka bertindak berang lalu melibaskan parang di belakang saya menyebabkan mengalami kecederaan ringan. 

“Mereka terus menggeledah rumah saya sebelum meminta kunci rumah daripada saya. Mereka mengambil beberapa baju T untuk menutup muka mereka sebelum meninggalkan rumah mengikut pintu belakang,” ujarnya. 

Chua berkata, mereka berjaya membebaskan diri sendiri daripada ikatan menggunakan mulut tidak lama selepas perompak berkenaan meninggalkan rumahnya.

Dia kemudian pergi ke Balai Polis Pelangi Indah bagi melaporkan insiden yang berlaku.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku dan siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya