Lima mahkamah litar berstatus kurang memuaskan di Malaysia - Utusan Malaysia

Lima mahkamah litar berstatus kurang memuaskan di Malaysia

TAKIYUDDIN Hassan (tengah) bergambar di hadapan Mahkamah Sesyen/Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom di Setiu hari ini.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Sebanyak lima mahkamah litar berstatus kurang memuaskan di negara ini bakal dinaik taraf kemudahannya termasuk berpindah ke premis baharu yang lebih selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, daripada jumlah itu satu merupakan di Pengerang, Johor di samping masing-masing dua di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerja-kerja penambahbaikan mahkamah itu giat dijalankan dengan tiga daripadanya dijangka beroperasi pada tahun ini termasuk di Pengerang yang membabitkan pembinaan bangunan baharu bernilai RM25 juta.

“Di samping itu dua lagi mahkamah litar yang bakal beroperasi di lokasi baharu pada tahun ini ialah di Papar, Sabah dan di Mukah, Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen/Majistret Setiu yang baharu di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir. 

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Mahkamah Sesyen/Majistret Setiu yang baharu kini beroperasi di bangunan sementara di lot rumah kedai di Sungai Tarom sebelum berpindah ke premis kekal di Kampung Binjai Manis di sini.

Katanya, projek pembinaan premis mahkamah di tapak seluas 1.2 hektar itu dijangka dilaksanakan pada 2023 membabitkan kos sebanyak RM30 juta.

“Mahkamah Sesyen/Majistret Setiu telah beroperasi di tapak lama di bandar Permaisuri sejak 1988 lagi dan kurang selesa dari segi kedudukan serta kemudahan asas bukan sahaja kepada orang awam bahkan majistret di samping kakitangan pentadbiran.

“Premis baharu ini turut dilengkapi dengan sistem rakaman dan suara ke teks (RVT) dan saya akan berbincang dengan pihak Ketua Pendaftar jika Mahkamah Sesyen/Majistret Setiu boleh dijadikan model di tempat-tempat lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN