Lima kali ubah suai rasa kek sebelum berani jual - Utusan Malaysia

Lima kali ubah suai rasa kek sebelum berani jual

SAZLIANA Ghazali menunjukkan kek coklat yang sedia dijualnya ketika ditemui di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Melakukan sesuatu perkara yang bukan dalam kemahiran sendiri memang tidak semudah disangka apatah lagi dengan tujuan menceburi bidang perniagaan makanan secara komersial yang seharusnya memberi keutamaan rasa dan kualiti produk.

Namun, ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa sesuatu pekerjaan yang rumit atau pun sukar untuk disempurnakan akan menjadi lebih mudah jika sering dilakukan.

Berbekalkan iltizam itu, Sazliana Ghazali, 35, yang hanya seorang suri rumah keluar daripada kepompong hidupnya untuk cuba membuat kek bagi menambah pendapatan keluarganya.

“Pada peringkat permulaan saya terpaksa mengubah suai sebanyak lima kali rasa kek kerana adakalanya terlalu manis, pahit, tawar dan tepung tidak naik.

“Sebelum itu saya belajar sendiri dan melihat melalui media sosial seperti YouTube dan bertanya dengan orang yang berpengalaman bagaimana untuk membuat kek dan lama-kelamaan saya berjaya menghasilkan kek yang berani hendak dijual kepada orang ramai,” katanya di sini hari ini.

Sazliana, ibu kepada tiga orang anak itu tidak menyangka peluang tersebut membuka pintu rezeki buat mereka sekeluarga di sebalik orang lain bergelut untuk meraih wang ketika diberhentikan atau kehilangan kerja sepanjang Covid-19 melanda.

Walaupun hanya mula belajar membuat kek pada November lalu, dia kini sudah mampu menyiapkan kira-kira 100 pek kek coklat dan tiramisu yang telah ditempah oleh orang ramai melalui jualan secara dalam talian.

“Setiap hari saya akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk menyediakan bahan membuat kek dan siap kira-kira pukul 2 petang. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini saya jual sekotak kek dengan harga promosi RM10 selama dua bulan bermula 13 Januari lalu,” katanya.

Menurut Sazliana, mujur suaminya, Adirul Khuzairi Zamri, 27, banyak membantu termasuk menyediakan bahan dan idea memandangkan dia merupakan pakar dalam bidang kulinari.

Bercita-cita membuka kedai bakeri sendiri dan kini sedang mempelbagaikan jenis kek untuk dijual, orang ramai yang ingin membuat tempahan dan penghantaran boleh menghubungi talian 0108919139.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya