PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus memastikan penjaja dan peniaga di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kuala Lumpur menjalankan perniagaan dalam tempoh darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian juga akan terus memberikan lesen perniagaan secara percuma kepada penjaja yang ingin berniaga.
“Dalam tempoh darurat ini, penjaja di Wilayah Persekutuan boleh terus menjalankan perniagaan dan lesen terus diberi percuma.
“Cuma, saya minta patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa.
“Kita bantu membantu dan bersama perangi Covid-19,” katanya menerusi ciapan di Twitter semalam.
Katanya, beliau juga memohon kerjasama semua warga Wilayah Persekutuan untuk terus duduk di rumah dan keluar jika perlu dan kecemasan memandangkan trend penularan semakin membimbangkan.
Annuar berkata, beliau juga akan mempengerusikan sendiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri setiap hari bagi mencari langkah proaktif mengawal penularan wabak Covid-19 di Wilayah Persekutuan. -UTUSAN ONLINE