KANGAR: Cubaan seorang lelaki warga Thailand untuk menyeludup 100 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM10,000 gagal apabila bot dinaikinya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah di perairan Kuala Perlis, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya dibantu risikan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kuala Perlis dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara telah menahan sebuah bot fiber berwarna biru dan merah kira-kira pukul 4.30 pagi.
Katanya, serbuan tersebut dibuat hasil daripada maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan di lokasi terbabit.
“Setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis, kami meminta lelaki berusia 28 dan berasal dari Satun, Thailand itu untuk menunjukkan dokumen pengenalan diri namun dia gagal berbuat demikian.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 10 bungkusan plastik hitam mengandungi tumbuhan hijau dipercayai daun ketum yang disyaki cuba diseludup ke Thailand.
“Lelaki tersebut ditangkap dan semua barang rampasan kes dibawa balik ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot fiber tersebut dianggarkan kira-kira RM40,000.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN