KANGAR: Seorang penjual roti jala dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memaki anggota polis dengan perkataan ‘babi’ dalam satu sekatan jalan raya pada Selasa lalu.
Tertuduh, Muhamad Amir Razif Razali, 25, mengaku bersalah di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.
Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa telah mengeluarkan perkataan jelik ‘babi’ kepada anggota polis dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk menganggu keamanan di satu sekatan jalan raya di kilometer satu Jalan Datuk Wan Ahmad pada pukul 10.10 pagi, Selasa lalu.
Lelaki tersebut didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100.
Pertuduhan tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Diyana Ab Shukor.
Kamaliza kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM100 bagi tuduhan tersebut atau dipenjara dua hari jika gagal membayarnya. -UTUSAN ONLINE