BALIK PULAU: Seorang bekas banduan yang memiliki 43 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Batu Maung di sini pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tengah malam tadi.
Lelaki berusia 34 tahun itu diberkas bersama seorang rakannya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS) kira-kira pukul 1 pagi.
Rakannya yang juga berusia 34 tahun turut memiliki 19 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, penahanan dua lelaki tersebut dilakukan selepas mendapati kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka berada dalam keadaan mencurigakan semasa berhenti di sekatan jalan berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati kereta yang didakwa dipinjam daripada seorang rakan itu tidak memiliki cukai jalan.
“Soal siasat awal ke atas lelaki yang juga pemandu kereta terbabit mendapati dia baru dibebaskan dari penjara September tahun lalu serta masih berada di bawah pengawasan polis.
“Ketika ditahan, lelaki tersebut juga memberi alasan menghantar kuih di kawasan Batu Maung dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anbalagan memberitahu, pemeriksaan di dalam kereta tersebut tidak menemukan sebarang objek mencurigakan dan mereka ditahan bagi menjalani proses dokumentasi serta ujian saringan air kencing di Balai Polis Bayan Baru.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, polis akan meningkatkan pemantauan di lokaliti-lokaliti tumpuan peningkatan kes positif pandemik Covid-19 di Mukim 12 Daerah Barat Daya dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
“Pemeriksaan di SJR kawasan Bayan Lepas dan Bayan Baru yang berada di Mukim 12 akan dijalankan lebih rapi supaya masyarakat tidak keluar dari rumah sekiranya tiada keperluan,” ujarnya.
Tambah beliau, sebanyak enam SJR diadakan di daerah ini bagi tujuan mengawal pergerakan masyarakat dengan melibatkan seramai 300 keanggotaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Pulau Pinang antara enam negeri termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bermula hari ini hingga 26 Januari ini. – UTUSAN