ROMPIN: Lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Proton Iswara di Kilometer 23.5 Jalan Ibam – Rompin di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azari Miskon berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Perodua Myvi telah masuk ke laluan bertentangan dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapan melanggar secara berhadapan dengan kereta jenis Proton Iswara dari arah Rompin.
“Perlanggaran itu menyaksikan kereta dipandu mangsa melintang di tengah-tengah jalan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azari, penumpang Perodua Myvi dan pemandu Proton Iswara cedera di bahagian kepala dan kaki.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati permukaan jalan licin selepas hujan dan gelap tanpa lampu jalan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN ONLINE