SEPANG – Lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di selekoh Jalan Salak/Sepang di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kancil mengalami kecederaan parah pada bahagian badan serta kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan berkata, kemalangan berhampiran kuil India itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu kenderaan jenis Perodua Kancil, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) jenis Toyota Hilux dan juga sebuah motosikal jenis Yamaha.
Menurut beliau, daripada siasatan awal ditempat kejadian mendapati sebelum kejadian berlaku, mangsa dalam perjalanan dari arah Sepang menghala ke Salak.
“Manakala, pemandu kenderaan pacuan empat roda dan penunggang motosikal masing-masing dari arah Salak menghala ke Sepang.
“Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian, salah sebuah kenderaan iaitu di antara kenderaan mangsa dan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki, tidak dapat dikawal lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung.
“Tidak lama kemudian, datang sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah Salak dan tidak sempat mengelak kenderaan mangsa yang telah melintang di laluannya.
“Penunggang motosikal berkenaan terlanggar bahagian belakang bucu sebelah kanan kenderaan mangsa sebelum terbabas ke bahu jalan arah bertentangan,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Md. Noor Aehwan berkata, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa maut berikutan tersepit di dalam kenderaannya dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan kepala.
“Bagaimanapun,, pemandu kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan sebelah kiri sementara penunggang motosikal patah tangan kiri.
“Mangsa telah pun dibawa ke Hospital Putrajaya dan semua kenderaan ditahan untuk urusan pemeriksaan,”katanya.
Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati, lokasi kemalangan merupakan jalan berselekoh dan mempunyai satu lorong di setiap hala.
Katanya, kes akan siasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE