BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang mayatnya ditemukan terapung di rumah pam Taman Chai Leng, Sungai Derhaka, Perai di sini semalam dilaporkan hilang sejak dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, mangsa, K. Saravanan, 29, dikatakan keluar dari rumah Sabtu lalu dan gagal dihubungi sejak hari tersebut.
“Adik mangsa yang membuat pengecaman mayat memaklumkan lelaki yang bekerja sebagai operator itu keluar kira-kira pukul 1 petang pada Sabtu menaiki motosikal.
“Hasil bedah siasat di Hospital Seberang Jaya mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah ditemukan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Shafee, mayat tersebut ditemukan dalam keadaan sudah membengkak dan hanya memakai seluar dalam berwarna hitam.
Semalam, akhbar melaporkan pasukan bomba dan penyelamat dikerah membantu mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di rumah pam Taman Chai Leng, di sini kira-kira pukul 5.20 petang. – UTUSAN