Lelaki ditipu ‘ADUN’ rugi RM4,850 - Utusan Malaysia

Lelaki ditipu ‘ADUN’ rugi RM4,850

MOHD. SALLEH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lelaki kerugian RM4,850 ditipu individu yang menyamar sebagai seorang ahli dewan undangan negeri (ADUN) bagi urusan bantuan komputer kepada sekolah di kawasan ADUN terbabit, Rabu lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, mangsa berusia 55 tahun dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor 010-3865922 yang memperkenal diri sebagai seorang ADUN. 

Katanya, suspek bertindak meminjam wang sebanyak RM1,350 dan meminta mangsa untuk memindahkan wang tersebut ke dalam akaun Public Bank bernombor akaun 6932819417 atas nama Marlon Bin Talib (keldai akaun). 

Tambahnya, dalam masa yang sama, suspek juga berjanji kepada mangsa untuk membayar semula wang tersebut pada sebelah malam.

“Suspek turut meminta mangsa membuat pindahan wang lagi berjumlah RM 3,500 ke dalam akaun yang sama dan mangsa mengikuti arahan yang diberikan oleh suspek. 

“Mangsa sekali lagi diminta untuk memindahkan wang lagi sebanyak RM1,500 namun mangsa tidak mengikut arahan tersebut selepas mengesyaki dirinya ditipu kerana suspek tidak dapat dihubungi dan gagal membuat bayaran semula sebagaimana yang telah dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Salleh berkata, mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM 4,850 telah mẹmbuat laporan polis di Balai Polis Batu Pahat.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis Johor ingin menasihati orang ramai dan masyarakat supaya membuat semakan dengan terperinci terlebih dahulu seperti membuat pengesahan dengan jabatan atau individu yang berkenaan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan. 

“Bersemuka dengan individu yang ingin meminjam wang dan jangan mudah mengikuti arahan yang diberikan melalui aplikasi seperti WhatsApp atau media sosial yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, orang ramai juga boleh membuat semakan ke atas nombor akaun dan nombor telefon yang mempunyai laporan polis dan terlibat dalam siasatan kes jenayah komersil iaitu Semak Mule di ccid.rmp.gov.my. 

“Aplikasi ini boleh juga dimuat naik di aplikasi Google Play. Orang ramai juga boleh hubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 untuk sebarang maklumat dan pertanyaan melibatkan jenayah komersil,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya