MELAKA: Lelaki yang mempunyai 100 rekod tangkapan diberkas semula buat kali ke-101, kali ini bersama teman wanitanya selepas dipercayai aktif melakukan kegiatan samun dan curi kenderaan di empat negeri dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di Jalan Kesidang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Daerah Melaka Tengah mengesan tiga suspek di premis tersebut, bagaimanapun seorang daripadanya berjaya meloloskan diri.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, dalam serbuan itu, pasukan polis juga terpaksa melepaskan tiga das tembakan selepas pasangan kekasih itu cuba bertindak merempuh kenderaan polis ketika cuba melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi.
Katanya, suspek berusia 38 tahun berkenaan dan teman wanitanya berusia 42 tahun berjaya diberkas, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 35 tahun lolos.
“Hasil risikan, suspek dipercayai telah menjadikan hotel bajet ini sebagai markas jenayah mereka sejak September tahun lalu dan melakukan kegiatan samun serta curi kenderaan di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Melaka.
“Menyedari kehadiran polis, pasangan itu cuba melarikan diri dengan sebuah kereta Myvi dan bertindak merempuh kenderaan polis berkali-kali sehingga menyebabkan anggota terpaksa melepas tiga das tembakan di bahagian tayar,” katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian di sini, hari ini.
Tambah Abdul Majid, akibat rempuhan itu, seorang anggota polis dan suspek lelaki yang memandu mengalami kecederaan di tangan, manakala seorang lagi suspek lelaki mengambil peluang insiden untuk meloloskan diri.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam Perodua Myvi tersebut turut menemukan pelbagai senjata berbahaya termasuk parang dan kapak yang dipercayai digunakan bagi kegiatan samun dan curi kenderaan.
“Kita juga menemukan pelbagai jenis dadah termasuk dadah jenis methamphetamine seberat 20.64 gram; heroin (15.07 gram); empat biji pil kuda (0.56 gram) dan dua pil ecstasy.
“Hasil semakan lanjut, suspek lelaki juga mempunyai 40 rekod jenayah lampau, manakala teman wanitanya mempunyai empat rekod berkaitan dadah,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, tangkapan pasangan itu turut menyelesaikan 10 kes jenayah melibatkan kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di negeri ini sejak September tahun lalu.
“Kita mendapati ketiga-tiga suspek menjalankan kegiatan jenayah secara berpindah-randah dan menjadikan negeri Melaka sebagai transit persembunyian.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 379A iaitu jenayah curi kenderaan, Seksyen 380 kerana mencuri dalam bangunan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menyerang ataupun menggunakan kekerasan jenayah,” katanya.
Tambahnya, suspek juga akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE