PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes harian Covid-19 melebihi 5,000 kes iaitu 5,298 kes sekali gus menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 48,150 kes manakala kes positif kumulatif negara sebanyak 214,959 kes.
Kes sembuh pula sebanyak 4,522 kes sekali gus menjadikan keseluruhan kes sembuh sepenuhnya ialah 166,049 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 313 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 127 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 14 kematian serta 10 kluster baharu.
Katanya, Selangor mencatatkan rekod tertinggi iaitu 2,460 kes positif diikuti Johor, 1,020 kes; Kuala Lumpur, 783 kes; Sabah, 298 kes; Melaka, 153 kes dan Sarawak, 135 kes.
“Negeri lain pula merekodkan kes dua angka iaitu Terengganu, 83 kes; Pahang, 74 kes; Pulau Pinang, 69 kes; Perak, 63 kes; Kedah, 53 kes; Negeri Sembilan, 42 kes; Kelantan, 30 kes; Labuan, 24 kes manakala Putrajaya, enam kes dan Perlis, lima kes.
“Kes kematian melibatkan 12 kes di Selangor manakala Sarawak dan Kuala Lumpur, masing-masing satu kes di mana semuanya adalah warga tempatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas mengenai 12 kematian, Noor Hisham berkata, tujuh membabitkan lelaki dan lima wanita berusia antara 36 hingga 87 tahun.
“Semua pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit iaitu kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, dislipidemia, kanser usus, meningioma, epilepsy, dementia, Rheumatoid Arthritis dan jantung,” katanya.
Dalam perkembangan membabitkan 10 kluster baharu, beliau berkata, tujuh kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu berkaitan komuniti.
Katanya, tujuh kluster berkaitan tempat kerja iaitu Kluster Jalan Kewajipan di Petaling, Selangor, sebanyak 125 kes dari 500 individu, Kluster Persiaran Sabak di Petaling, Selangor, sebanyak 44 kes dari 440 individu dan Kluster Jalan Rami Tiga di Muar, Johor, seramai 93 individu disaring, di mana 47 kes positif.
“Kluster Jalan Mega di Johor Bahru, Johor, sebanyak 25 kes dari 49 individu dan Kluster Sri Plentong di Johor Bahru, Johor, seramai 44 individu disaring, di mana 19 kes positif.
“Kluster Tapak Bina Jalan Chulan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, sebanyak 151 kes dari 562 individu dan Kluster Jalan Masjid Tanah di Alor Gajah, Melaka, seramai 1,023 individu telah disaring, di mana 69 kes dikesan positif,” katanya.
Tambahnya, dua kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan Ithnin di Johor Bahru, Johor yang melibatkan sebuah pusat jagaan warga emas di mana sebanyak 67 kes dari 294 individu dan Kluster Bercham Raya melibatkan daerah Kinta dan Kuala Kangsar, Perak, seramai 21 individu telah disaring, di mana 11 kes positif.
“Bagi kluster berkaitan komuniti, Kluster Jalan Tronoh di Perak Tengah, Perak, seramai 87 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif,” katanya. – UTUSAN