PUTRAJAYA: Semua program latihan berpusat bagi atlet negara secara sepenuh masa yang sedang dijalankan ketika ini akan diteruskan dengan langkah kawalan pergerakan lebih ketat.
Ini meliputi Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Kompleks Sukan Paralimpik Kampung Pandan di ibu negara.
“Juga Velodrome Nilai di Negeri Sembilan dengan latihan dilaksanakan melalui pendekatan berasaskan kuarantin,” kata Kementerian Belia dan Sukan menerusi kenyataan di sini hari ini.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin berhubung pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri Rabu ini sehingga 26 Januari.
Langkah itu melibatkan lima negeri dan tiga Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur manakala enam negeri lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Hanya Perlis dan Sarawak masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan sejak 10 Jun lalu serta disambung untuk fasa 8 sehingga 31 Mac depan.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata bahawa Bilik Gerakan kementerian tersebut tetap beroperasi seperti biasa melalui e-mel dan panggilan telefon mulai 8 pagi hingga 5 petang.
“Ini bagi membantu dan memberi penerangan kepada rakyat berkaitan prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi,” tambahnya lagi.
Pihak kementerian itu juga katanya, mengambil peluang ini untuk menasihatkan semua khususnya peminat dan penggiat sukan agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Pada masa sama, beberapa perkara yang berkaitan pengumuman pelaksanaan PKP terbaharu itu akan diteliti oleh pihak kementerian dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Perincian mengenainya akan dimaklumkan kemudian, manakala bagi negeri yang dikenakan PKPB dan PKPP, ia meminta agar dipatuhi SOP sektor sukan dan rekreasi sepanjang masa.
“Namun, kementerian berterima kasih atas kelonggaran diberikan terhadap aktiviti sukan dan rekreasi yang masih boleh diteruskan seperti yang dicadangkan pihaknya,” kata kenyataan itu.
Ini ujarnya, termasuk berlari, berbasikal dan aktiviti bukan berkumpulan dengan seorang atau berdua sahaja sesama isi rumah dalam jarak 10 kilometer dari kediaman bagi negeri PKP.
Keputusan itu perlu bagi usaha mengawal rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat dibendung termasuk kegiatan sukan berkumpulan dalam kawasan PKP juga adalah tidak dibenarkan.
“Kementerian mengambil maklum perkembangan semasa yang berlaku dan kita ada tanggungjawab moral bersama agar penularan Covid-19 ini boleh diputuskan,” jelas kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE