JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengeluarkan notis terhadap lapan peruncit di sekitar bandar raya ini kerana disyaki menyembunyikan minyak masak pek sekilogram bersubsidi sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, notis yang dikeluarkan itu bagi mendapatkan maklumat serta penjelasan berhubung kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.
Katanya, tindakan terbabit dibuat selepas KPDNHEP negeri menjalankan operasi bersepadu di sekitar Kulai dan Kempas di sini susulan laporan bekalan minyak masak bersubsidi kehabisan stok di pasaran.
“Sejak awal tahun sehingga kini, KPDNHEP Johor menjalankan pemeriksaan ke atas 780 premis meliputi 687 peruncit, 75 pemborong dan 18 pengilang di seluruh negeri ini. Kami turut mempertingkat pemantauan sebaik laporan minyak masak paket terputus bekalan selain harga minyak botol naik mendadak.
“Hasil pemeriksaan yang dibuat, lapan peruncit diberikan Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana dipercayai terbabit menyorok minyak paket dan mendakwa kehabisan stok, padahal bekalan masih ada tetapi disembunyikan.
“Hasil siasatan awal mendapati tindakan peruncit menyorok bekalan mereka kerana enggan menjual minyak paket disebabkan margin keuntungan yang rendah berbanding minyak botol,” katanya selepas meninjau operasi bersepadu memeriksa bekalan minyak masak di Kempas di sini hari ini.
Mohd. Hairul berkata, pihaknya juga sedang menyiasat punca kenaikan harga minyak botol yang mendadak hingga menimbulkan keluhan orang ramai.
“KPDNHEP Johor sedang memeriksa rantaian bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini selepas didakwa habis di pasaran sejak dua minggu lalu.
“Kita akan membuat pemeriksaan secara menyeluruh di peringkat pengeluar atau pengilang, pemborong sehinggalah ke peringkat peruncit,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan terputus bekalan minyak masak bersubsidi, Mohd. Hairul berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap bekalan minyak masak serta barang keperluan lain supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan.
“Pemeriksaan di peringkat pengilang minyak masak yang dilakukan mendapati stok minyak masak bersubsidi terus diproses dan dikeluarkan seperti biasa.
“Kami memberi amaran sebarang tindakan pencatutan termasuk menyorok bekalan dan enggan menjualnya kepada pengguna akan diheret ke mahkamah dan berdepan hukuman berat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE