KEMAMAN: Sebanyak lapan kematian direkodkan akibat banjir di enam negeri dalam tempoh kurang dari 10 hari memasuki tahun 2021.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kesemua mangsa yang maut merupakan antara 15 yang dilaporkan lemas bagaimanapun, tujuh daripadanya berjaya diselamatkan.
Katanya, tragedi malang itu dilaporkan berlaku di Johor, Pahang dan Kelantan dengan beberapa insiden disebabkan kecuaian mangsa.
“Ada beberapa senario lemas banjir disebabkan mangsa berjalan pulang ke rumah kemudian jatuh ke dalam longkang dan dibawa arus di samping kerana meredah banjir menggunakan kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di daerah ini hari ini.
Sehubungan itu, Mohammad Hamdan meminta orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berhubung dengan pihak berkuasa sekiranya memerlukan sebarang bantuan termasuk untuk berpindah.
Dalam perkembangan sama, ketika mengulas situasi banjir di Kemaman, katanya, paras air di beberapa lokasi masih tinggi berdasarkan pemantauan yang dilakukan dari udara.
“Penduduk dinasihatkan untuk sentiasa bersedia jika berlaku hujan lebat yang boleh menyebabkan kejadian banjir berulang,” katanya. – UTUSAN