PUTRAJAYA : Pemberian data percuma 1 Gigabit (Gb) yang dimulakan semua syarikat telekomunikasi sejak April 2020 dilanjutkan hingga April depan.
Ini satu daripada inisiatif yang dilakukan sektor telekomunikasi bagi permudahkan capaian Internet untuk golongan pelajar miskin dan pengguna dalam kategori berpendapatan B40.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, ia diharap meringankan beban rakyat mengharungi tempoh mencabar susulan langkah kawalan wabak Covid-19.
“Kos bagi tahun ini sahaja ujarnya, bakal mencecah RM500 juta dan mereka turut menawarkan pakej langganan khas untuk calon peperiksaan awam sejak 6 Januari lalu hingga April ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ia jelas SKMM, meliputi pas data 15GB secara prabayar dengan harga serendah RM20 sebulan bagi pelajar terbabit yang termasuk para penuntut peringkat insititusi pengajian tinggi.
Kelas tambahan percuma dalam talian juga disediakan, antaranya Celcom melalui Tuisyen Rakyat, Digi (Jom Tuisyen), Maxis (e-Kelas), TM (I-Learn Ace) dan YTL (Learn From Home).
“Bagi yang mendiami kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), kerajaan juga bersetuju melanjutkan tempoh operasi 54 Pusat Internet Komuniti (PIK) seluruh negara,” kata SKMM.
Premis ini ujarnya, dibuka dari 9 pagi hingga 9 malam sejak 8 Januari lalu sehingga akhir April ini kecuali pada hari cuti umum untuk pengguna B40 dan calon peperiksaan awam 2021.
Selain itu, sejumlah 130 PPR di negara ini dikenal pasti untuk menerima akses wifi percuma yang dipasang syarikat telekomunikasi utama selewat-lewatnya menjelang 5 Februari depan.
Usaha ini kata SKMM, bagi merangsang keupayaan penduduk memanfaatkan wadah itu bagi meningkatkan kegiatan ekonomi, menambah kemahiran dan peka perkembangan semasa.
“Melalui kemudahan ini, SKMM dan syarikat telekomunikasi sentiasa prihatin serta berharap ia meningkatkan pencapaian akademik pelajar selain penduduk menjana pendapatan,” katanya.
Inisiatif itu ujarnya, merupakan sebahagian usaha SKMM merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat yang kurang berkemampuan agar tidak lagi ketinggalan arus pembangunan. -UTUSAN ONLINE