KUANTAN: Laluan di Kilometer 198 antara persimpangan bertingkat Sri Jaya dan persimpangan Bertingkat Gambang dinaiki air sedalam kira-kira 0.6 meter sepanjang lebih kurang satu kilometer.
Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad dalam kenyataannya berkata, kenaikan itu ekoran hujan lebat berterusan.
Akibat limpahan air itu juga, semua lorong di lebuh raya berkenaan ditutup.
“Sehubungan itu, pengguna yang ingin ke Kuantan dan Kuala Lumpur mohon tangguhkan perjalanan anda buat sementara waktu.
“Syarikat turut ingin menasihatkan orang ramai agar mengikuti status dan perkembangan perkara ini menerusi saluran rasmi ANIH iaitu twitter @LPTTrafik dan Facebook @Lebuhraya Pantai Timur untuk status terkini keadaan trafik dan lebuh raya,” katanya. – UTUSAN