KUALA LUMPUR: Malang menimpa para penghantar makanan di negara ini apabila mereka mendakwa ditipu oleh syarikat penghantaran makanan terkenal yang menjadi majikan mereka selama ini.
Mereka mendakwa, beberapa isu terpaksa dihadapi seperti pembayaran dan sistem kerja yang tidak cekap.
Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Muhammad Zulhelmi Mansor berkata, apa yang mengecewakan, syarikat itu mengenakan caj tersembunyi dan pengenalan promosi tanpa pengetahuan mereka.
Selain itu katanya, kelewatan bayaran sehingga tiga bulan membuatkan banyak vendor kini tersepit dan mengeluh dengan perkhidmatan yang diberikan.
“Kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu campur tangan bagi memastikan perkhidmatan syarikat itu tidak sewenang-wenangnya melaksanakan sistem yang kita sendiri pun tidak dimaklumkan apa-apa.
“Kami juga berharap kerajaan pastikan isu seperti ini tidak berlaku lagi lebih-lebih lagi dalam penularan Covid-19. Tambahan pula ekonomi gig sedang berkembang dan kita tidak mahu ada yang ambil kesempatan,” katanya.
Baru-baru ini, akhbar ini pernah mendedahkan penipuan syarikat yang sama kepada para vendor.
Para vendor mengadu bahawa mereka tidak menerima bayaran seperti tarikh yang ditetapkan dan mengalami masalah pusingan modal.
Terdapat lebih 150 vendor makanan yang menjalankan perniagaan dibawah syarikat itu di seluruh negara setakat ini.
Isu membabitkan syarikat tersebut sebelum ini termasuk membabitkan penghantar makanan antaranya didakwa tidak berbincang dengan penghantar makanan sebelum melaksanakan sistem baharu, wakil syarikat itu tidak mengendahkan kebajikan dan aduan dan pendapatan berkurangan sehingga RM500 hingga RM600.
Dalam pada itu, salah seorang penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 39, berkata, isu membabitkan penghantar makanan masih berlanjutan walaupun pernah di ketengahkan kepada kerajaan sebelum ini.
“Prosedur operasi standard (SOP) berubah-ubah. Sebagai contoh jika dahulu gaji mengikut jam dan ‘batch’ (kumpulan). Paling tinggi RM7 sehingga paling rendah RM3.50. Untuk mendapat kumpulan pertama perlu ada kriteria tertentu. Tetapi mereka ubah pula SOP dengan sesuka hati.
“Paling terbaru, sistem pembayaran dikira sekali dengan jarak. Masalahnya peta pada aplikasi ‘Road Runner’ kurang dengan jarak di Google. Ini sudah pasti jejaskan pendapatan kita” jelasnya.
Dalam pada itu, Angah berkata, kini penghantar makanan turut berdepan dengan isu sistem penerimaan pesanan di aplikasi Foodpanda.
Bagi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu mewujudkan garis panduan agar syarikat ini tidak mengambil kesempatan sehingga menindas pihak lain.
“Kerajaan perlu panggil syarikat itu supaya tiada mana-mana pihak yang ditekan dalam isu seperti ini pada masa akan datang,” jelasnya.
“Masalah sistem penerimaan pesanan ini tidak stabil. Bila ada pesanan masuk kita tidak dapat apa-apa notifikasi dan secara tiba-tiba sistem akan tergendala sekaligus menyebabkan ‘batch’ kita jatuh. Apabila buat aduan mereka kata sebab rangkaian internet.
“Di samping itu, walaupun pesanan tiada dan kita mahu solat atau makan, ia akan menyebabkan ‘batch’ kita jatuh dan semestinya pendapatan jatuh. Dulu sistem ‘batch’ dua minggu sekali, sekarang seminggu sekali. Lebih parah musim hujan. Kalau kita tidak mahu terima banyak pesanan, mereka mahu gantung pengenalan diri (ID) pula,” ujarnya.
Seorang lagi penghantar makanan, Aminur Rashid, 27, berkata, banyak pihak mengalami masalah dalam penggunaan aplikasi ‘Road Runner’ terutama apabila menerima pesanan.
“Berharap isu ini dapat diselesaikan segara . Jangan biarkan lama kerana ia melibatkan ‘periuk nasi’ kami,” ujarnya.
Bagi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu mewujudkan garis panduan agar syarikat ini tidak mengambil kesempatan sehingga menindas pihak lain.
“Kerajaan perlu panggil syarikat itu supaya tiada mana-mana pihak yang ditekan dalam isu seperti ini pada masa akan datang,” jelasnya. – UTUSAN