GUA MUSANG: Seekor tapir jantan dengan berat dianggarkan kira-kira 450 kilogram ditemukan mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Felda Chiku 1, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, bangkai haiwan yang dianggarkan berusia lapan tahun itu ditemukan orang awam pukul 7.45 pagi ini.
“Berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, tapir jantan tersebut dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan kerana kesan darah juga terdapat di atas jalan raya.
“Tapir itu cedera di bahagian badan dan di mulut selain terdapat kesan seretan yang dipercayai menjadi punca kematian haiwan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ady Ermanty Haniff berkata, tapir itu keluar dari habitat asalnya iaitu sama ada Hutan Simpan Gunung Rabong atau Hutan Simpan Chiku, di sini dan merayau mencari makanan di sekitar kawasan itu.
Mengikut rekod, sebanyak tiga ekor tapir telah mati dilanggar kenderaan di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Pada November lalu, seekor tapir jantan dianggarkan seberat 150 kilogram ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Kampung Sri 10, Jalan Sungai Durian-Chenulang, Kuala Krai.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Mohd. Noh Mohd. Asri, 36, berkata, sejak kebelakangan ini dia sering ternampak kelibat beberapa ekor tapir melintas jalan di kawasan itu.
“Malam kelmarin, sekitar pukul 11 malam saya terserempak lagi dengan seekor tapir dewasa yang melintas jalan.
“Pagi ini ketika melalui jalan ini untuk ke tempat kerja, saya terkejut melihat tapir itu sudah mati,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini. – UTUSAN ONLINE