Lagi 572 ditahan, ramai ingkar tidak memakai pelitup - Utusan Malaysia

Lagi 572 ditahan, ramai ingkar tidak memakai pelitup

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 572 individu ditahan semalam atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mereka ditahan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai oleh polis dengan melakukan sebanyak 41,801 pemeriksaan dan meliputi pelbagai premis terdapat di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 571 dikompaun manakala seorang direman dengan kes tertinggi tidak memakai pelitup muka sebanyak 173.

“Ini diikuti aktiviti di pusat hiburan (157), gagal sedia peralatan merekod butiran diri (115), tiada jarak fizikal (115) dan lain-lain (12),” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Sejumlah 2,459 pasukan meliputi 10,669 anggota telah ditugaskan untuk memantau 3,035 pasar raya, 4,284 restoran, 1,528 penjaja, 780 kilang, 2,843 bank dan 455 pejabat kerajaan.

Turut dipantau pasukan itu di seluruh negara semalam ujarnya, ialah sebanyak 869 terminal pengangkutan darat, 160 terminal pengangkutan air dan 63 terminal pengangkutan udara

Sejumlah 16 pendatang asing tanpa izin dan seorang tekong ditahan melalui Operasi Benteng oleh pelbagai agensi bagi kekang jenayah rentas sempadan dan sekat penularan Covid-19.

“Sebanyak tiga buah kenderaan darat juga dirampas, manakala 110 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.

Dalam pada itu, 50 operasi sanitasi awam dijalankan meliputi 20 zon merah, dua zon jingga, lima zon kuning dan tiga zon hijau yang melibatkan 10 negeri dan satu wilayah persekutuan.

Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, sehingga kini seramai 8,375 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Sejumlah 93,727 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 76 buah hotel serta 17 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat 839 pemantauan yang meliputi 648 peruncit, 160 pemborong dan 31 pengilang.

“Turut dijalankan di seluruh negara ialah 1,352 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan kesemua premis terlibat didapati mematuhi peraturan yang ditetapkan,” tegas Ismail Sabri.

Berhubung saringan wajib pekerja warga asing, setakat 10 Januari lalu, seramai 131,140 individu terbabit sudah menjalani proses tersebut yang melibatkan sejumlah 3,956 majikan.

Sebanyak 783 klinik terbabit dalam program saringan anjuran Kementerian Sumber Manusia sehingga kini sejak dimulakan pada 1 Disember lalu dengan kos ditanggung majikan sendiri.

Kerajaan telah menguatkuasakan arahan ini mulai 1 Januari lepas dengan majikan yang gagal akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Ismail Sabri turut memaklumkan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan mengumumkan SOP berkaitan.

Ia sebagai susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula Rabu ini di enam negeri yang lebih diperketatkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya