Lagi 393 ditahan, ramai ingkar SOP di pusat hiburan - Utusan Malaysia

Lagi 393 ditahan, ramai ingkar SOP di pusat hiburan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 393 individu ditahan Task Force Operasi Pematuhan semalam atas pelbagai kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 372 dikompaun manakala 21 direman dengan kes tertinggi ialah aktiviti pusat hiburan sebanyak 195 individu.

“Ini diikuti tidak memakai pelitup muka (89), gagal sedia peralatan merekod butiran (70), gagal jaga penjarakan fizikal (36) dan lain-lain (3),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, sejumlah 2,845 pasukan pematuhan meliputi 11,362 anggota memantau 3,482 pasar raya, 4,684 restoran, 1,699 penjaja, 1,430 kilang, 3,310 bank dan 716 pejabat kerajaan.

Turut dipantau pasukan itu di seluruh negara semalam ujarnya, ialah sebanyak 969 terminal pengangkutan darat, 216 terminal pengangkutan air dan 90 terminal pengangkutan udara.

Sejumlah 49 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong ditahan melalui Operasi Benteng oleh pelbagai agensi bagi kekang jenayah rentas sempadan dan sekat penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak tujuh buah kenderaan darat juga dirampas manakala 111 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.

Dalam pada itu, 37 operasi sanitasi awam dijalankan meliputi 17 zon merah, dua zon jingga, enam zon kuning dan tiga zon hijau melibatkan sembilan negeri dan dua wilayah persekutuan.

Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, sehingga kini seramai 7,985 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Sejumlah 91,048 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 76 buah hotel serta 17 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) memeriksa 22 tapak binaan di seluruh negara dan kesemuanya didapati telah mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat 698 pemantauan yang meliputi 523 peruncit, 145 pemborong dan 30 pengilang.

“Turut dijalankan di seluruh negara ialah 1,449 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan kesemuanya didapati mematuhi peraturan kecuali dua premis yang diberi nasihat,” katanya.

Ismail Sabri turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk aspek kebersihan diri dalam melakukan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Beliau turut memaklumkan telah mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir di Ulu Dong, Raub, Pahang hari ini dan berpuas hati dengan pematuhan SOP.

“Saya berharap keadaan di semua pusat pemindahan lain juga adalah sama. Pastikan kita bukan sahaja terselamat dari arus deras banjir, malah bebas jangkitan Covid-19,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya