PUTRAJAYA: Seramai 133 lagi pekerja warga asing disahkan sebagai positif Covid-19 ketika menjalani ujian saringan di empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya seramai 116 individu direkodkan Kementerian Sumber Manusia kelmarin.
“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 8,601 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib itu di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Secara kumulatif ujar beliau, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 251,101 individu sudah pun selesai melakukan ujian saringan Covid-19 yang melibatkan sebanyak 10,500 majikan.
Daripada jumlah berkenaan ujarnya lagi, hanya 4,735 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak tersebut, manakala selebihnya iaitu seramai 246,366 orang lagi adalah negatif.
Sebanyak 887 klinik terlibat dalam program mandatori itu selari arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Buat permulaan, arahan itu diwajibkan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sebelum diperluaskan ke negeri lain.
Namun mulai 2 Februari ini, ujian dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu akan dikembangkan kepada sembilan buah negeri lain dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.
Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso. -UTUSAN ONLINE