KUALA LUMPUR: Guru tadika, M. Indira Gandhi memohon Ketua Polis Negara (KPN) menjawab 48 soalan termasuk berkaitan siasatan ke atas bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah yang telah melarikan anak perempuannya.
Permohonan tersebut dinyatakan dalam permohonan interogatori yang difailkan wanita itu semalam atas dakwaan KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuannya yang kini berusia 13 tahun.
Permohonan interogatori itu difailkan oleh firma guaman, Tetuan Raj & Sach mengikut Aturan 26 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mendapatkan perintah supaya kesemua defendan menjawab soalan-soalan berkaitan kes samannya terhadap defendan termasuk lokasi bekas suaminya yang dikatakan berada di Selatan Thailand dalam tempoh 14 hari.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili guru tadika itu ketika dihubungi memberitahu, mahkamah menetapkan 14 Januari ini untuk pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Idamasliza Maarof.
Pada 28 Oktober 2020, Indira Gandhi memfailkan saman tersebut terhadap KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan kesemua defendan itu enggan mematuhi perintah-perintah untuk menahan bekas suaminya, K. Patmanathan atau Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuannya, P. Prasana Diksa yang dikatakan dilarikan oleh lelaki berkenaan.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Indira memberitahu pada 29 April 2016, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya mengekalkan perintah mandamus (memaksa) KPN untuk mematuhi dan melaksanakan perintah komital dan pengembalian semula kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, sehingga hari ini KPN masih gagal atau enggan melaksanakan perintah-perintah tersebut walaupun mengetahui keberadaan bekas suaminya dan anak perempuannya itu.
Oleh itu, plaintif mendakwa defendan pertama mempunyai niat jahat dan sengaja tidak mengambil tindakan (tort of nonfeasance) untuk menangkap Muhammad Riduan dan mengembalikan Prasana Diksa kepadanya dan PDRM, KDN dan Kerajaan Malaysia didakwa bertanggungjawab atas keengganan defendan pertama itu.
Sehubungan itu, Indira Gandhi memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan tort of nonfeasance dan defendan kedua hingga keempat bertanggungjawab atas tindakan defendan pertama.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN