PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 9,099 aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu.
Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, tahun lalu merupakan jumlah aduan paling tinggi direkodkan susulan pandemik Covid-19.
Katanya, sepanjang tahun 2015 sehingga 2020, aduan yang paling banyak diterima adalah pada tahun lalu iaitu 9,099 aduan.
“Ia kemudiannya diikuti tahun 2018, iaitu 7,728 aduan dan seterusnya 2015 dengan 6,095 aduan.
“Lebih 25 peratus aduan di KPDNHEP adalah daripada Negeri Selangor,” katanya selepas merasmikan Pejabat Majlis Tindakan Pengguna Negara Cawangan Negeri Selangor di Hotel Marriot, Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara, Datuk Dr. Paduka Kevy KV. Yeo dan Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara Cawangan Negeri Selangor, Datuk Dr. Gavin Voon Shih Chin.
Muhammad Zikril Azan berkata, daripada jumlah aduan berkenaan pihaknya telah membuat analisa berkaitan kategori aduan terbabit.
Katanya, ketiadaan tanda harga, harga mengelirukan, tidak menggunakan tanda harga merah jambu (musim perayaan), menjual melebihi harga maksimum (musim perayaan) dan tiada resit merupakan aduan tertinggi direkodkan.
“Selain itu aduan mengenai kekurangan barang kawalan, aktiviti haram pula merekodkan jumlah aduan kedua tertinggi manakala perkhidmatan mengelirukan, tidak menerima barang tempahan adalah ketiga tertinggi,” katanya.- UTUSAN ONLINE